PENGENALAN
Negara Thailand adalah negara jiran yang terdekat
dengan negara Malaysia. Negara ini dahulunya
dikenali sebagai Siam sehinggalah pada 11 Mei 1949. Negara ini merupakan negara
yang ke-49 terbesar di dunia dengan anggaran keluasan 513,115 km2
dan merupakan negara yang ke-19 di dunia mempunyai bilangan penduduk yang ramai
dengan anggaran 64 juta orang. Penduduk
majoriti negara Thailand ialah kaum Siam yang beragama Buddha, namun terdapat
juga kaum-kaum minoriti yang lain seperti kaum Cina dan Melayu. Negara Thailand
dibahagikan kepada 75 provinsi atau changwat,
yang mana ia di bahagikan kepada 5 kumpulan iaitu bahagian Utara, Timur Laut,
Timur, Tengah dan Selatan. Penduduk di
selatan Thailand iaitu di wilayah Pattani, Yala dan juga Narathiwat adalah
beragama Islam yang jumlahnya hampir 4% daripada keseluruhan penduduk
Thailand. Di bahagian selatan Thailand
sering berlaku konflik etnik antara etnik Siam-Buddha dengan etnik
Melayu-Islam. Salah satu faktor yang
meyebabkan berlakunya konflik di selatan Thai ialah faktor tekanan pihak
kerajaan ke atas masyarakat minoriti Islam di wilayah berkenaan (Zarina Othman
2006:202).
Konflik antara kerajaan
Pusat dengan wilayah-wilayah selatan Thailand iaitu wilayah Songkhla, Pattani,
Yala, Narathiwat dan Satun sering berlaku kerana wujudnya perbezaan kepentingan
antara kerajaan pusat dengan penduduk-penduduk wilayah selatan Thailand yang
majoriti penduduknya beragama Islam.
Konflik yang sering berlaku antara pemerintah dengan penduduk-penduduk
di wilayah ini telah membawa kepada beberapa siri penentangan. Pertubuhan-pertubuhan atau gerakan-gerakan
pemisah ditubuhkan oleh penduduk-penduduk di wilayah berkenaan disebabkan
wujudnya diskriminasi dan tekanan oleh pihak pemerintah. Antara gerakan pemisah yang ditubuhkan ialah
Barisan Nasional Pembebasan Pattani (BNPP), Barisan Revolusi Nasional (BRN),
Pattani United Liberation Organisation (PULO), United Front for the
Independence of Pattani (BERSATU) dan gerakan Muhajideen Islam Pattani (GMIP).
Dari sudut sejarah,
Patani adalah sebahagian daripada Tanah Melayu yang tertua kerana sejarahnya
bermula sejak dari kerajaan Melayu Langkasuka pada abad pertama masihi lagi,
diikuti dengan kerajaan Melayu Seri Wijaya pada abad ke-7 Masihi. Seterusnya pada abad ke-14 Masihi nama
kerajaan Melayu Patani disebut oleh penulis-penulis dan pedagang-pedagang dari
Barat (Mohd Zamberi A. Malek 1993:1-18).
Pada pertengahan abad ke-19, Patani telah menjadi mangsa dasar
imperialistik kerajaan Siam melalui satu perjanjian antara Siam dengan British
pada tahun 1909 yang menyebabkan sistem kesultanan Melayu Patani telah
dihapuskan tanpa kerelaan mereka (Nik Anuar Nik Mahmud 1999:102). Keadaan ini telah menimbulkan perasaan benci
dalam kalangan penduduk Melayu-Islam terhadap kerajaan Siam yang mana ia telah
membentuk konflik.
Ini kerana sejak pemerintahan
Kesultanan Melayu Patani dihapuskan, orang-orang Melayu-Patani berada dalam
keadaan daif dan tertekan. Konsul
British, W.A.R. Wood di Songkhla, merungkaikan orang-orang Melayu telah menjadi
mangsa sebuah pemerintahan yang
misgoverned. Justeru itu tidak hairanlah kekacaun sering berlaku di
Patani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul
Kadir Kamaruddin, iaitu bekas raja kerajaan Melayu Patani, dengan
pejuang-pejuang Turki telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti Siam menjadi lebih hebat
apabila kerajaan Phibul Songgram (1939-1944) telah cuba mengasimilasikan kaum
minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Dasar Rathaniyom (Omar
Chapakia 2000:62-64).
Sehubungan dengan
kenyataan di atas, bab ini membincangkan latar belakang konflik selatan Thailand,
konflik dan situasi politik selepas perang dunia kedua, kemunculan gerakan
pejuang Muslim dan faktor-faktor berlakunya konflik di selatan Thailand.
LATAR
BELAKANG KONFLIK WILAYAH SELATAN THAILAND
Selatan Thailand merujuk pada 14 wilayah yang dibahagikan
kepada dua bahagian iaitu bahagian atas dan bahagian bawah. Selatan Thailand bahagian atas terdiri
daripada wilayah Chumpon (Grahi), Surathani (Tambralinga), Nakorn Sri Thamarat
(Legor), Pangga, Phuket, Krabi, Trang dan Pathalung. Manakala selatan Thailand bawah pula terdiri
daripada Songkhla (Senggora), Satun (Setul), Pattani, Yala (Jalor) dan
Narathiwat (Menara) yang mana dikenali sebagai wilayah sempadan selatan
(Changwad Chaidaern Pak Tai) (Omar Chapakia 1997:1).
Dari segi sejarahnya,
kemunculan sebenar kerajaan Patani tidak diketahui dengan jelas, namun
berdasarkan bukti yang ada, Pattani menjadi sebuah kerajaan Islam pada tahun
1457 apabila Pya Tu Nakpa memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Ismail
Shah Zilalullah fil Alam (Teeuw &
Wyat 1970: 68-70). Pada tahun 1516 Patani
menjadi tumpuan perdagangan dan seterusnya berkembang dengan pesatnya pada
tahun 1538. Terdapat kira-kira 300 orang
Portugis di Patani menjalankan perdagangan dengan saudagar dari Arab, Parsi,
India dan Kepulauan Melayu. Kerajaan Patani
yang berkembang menjadi sebuah kesultanan kemudiannya menghadapi ancaman
daripada kerajaan Thai di Utara.
Kerajaan Thai melakukan ancaman ke atas kerajaan Patani kerana, ia
melihat kerajaan Patani mampu memberi ancaman terhadap negaranya.
Kerajaan Melayu Patani
yang terdiri daripada Pattani, Jalor (Yala), Menara (Narathiwat), Chenak
(Chana), dan Tiba (Theeba) mencapai kemuncak kegemilangan di bawah pemerintahan
empat raja perempuan iaitu Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning. Kerajaan Melayu Patani menghadapi serangan
daripada tentera Thailand pada tahun 1603, semasa pemerintahan Raja Hijau dan
telah mengalami kekalahan. Keadaan ini
telah membawa kepada konflik antara kerajaan Patani yang majoriti penduduknya
beragama Islam dengan kerajaan Thailand.
Namun begitu pada masa itu, kerajaan Thai tidak menduduki Patani, sebaliknya
pulang. Kerajaan Patani kemudiannya berjaya memulihkan negerinya kembali. Seterusnya
angkatan tentera Thai di bawah Okya Decha sekali lagi melancarkan serangan
terhadap Pattani pada tahun 1632 tetapi dikalahkan oleh tentera Pattani. Kekalahan yang dialami oleh tentera Thailand
tidak melemahkan mereka untuk menyerang kembali Pattani dan mereka terus
melakukan serangan terhadap kerajaan Pattani pada tahun 1633. Dalam serangan tersebut, tentera Thailand
sekali lagi dikalahkan oleh tentera Pattani.
Serangan seterusnya dilakukan pada tahun 1786. Tentera Thai telah memusnahkan pusat
pentadbiran dan menahan ribuan orang Melayu dan di bawa ke Bangkok. Selain itu, tentera Thai juga merampas harta
benda dan di antara harta tersebut ialah meriam besar Seri Patani dan dibawa ke
Bangkok. Kesan daripada kekalahan ini,
Patani dikehendaki menghantar bunga emas tiga tahun sekali ke Bangkok sebagai
tanda taat setia kepada kerajaan Thailand.
Kerajaan Thailand turut memisahkan Chenak dan Tiba daripada kerajaan Patani
dan diletakkan di bawah pentadbiran Nakorn Sri Thamarat (Kobkua Suwanathat
1991:36-37). Dalam pada itu kerajaan
Thai pula menjalankan pelbagai langkah dan usaha untuk mengurangkan kekuatan
ketenteraan Patani. Konflik antara
kerajaan Thai dan kerajaan Patani masih berterusan walaupun Pattani telah
mengalami kekalahan kepada kerjaan Thai.
Keadaan ini dapat dilihat menerusi penentangan yang dilakukan oleh
Tengku Lamidin yang telah dilantik oleh kerajaan Thailand sebagai Raja
Patani. Kerajaan Melayu Patani di bawah
pemerintahan Tengku Lamidin tidak mematuhi arahan Raja Thailand dan melancarkan
gerakan penentangan terhadap keajaan Thailand pada tahun 1789. Penentangan ini dilakukan kerana Tengku
Lamidin tidak ingin kerajaan Patani ditakluki oleh kerajaan Thai. Angkatan tentera Patani berjaya mengalahkan
tentera Thailand dan menduduki semula Chenak dan Tiba serta menguasai
Songkhla.
Namun begitu pada tahun
1791, Patani dikuasai semula oleh tentera Thai.
Tengku Lamidin ditangkap dan djatuhi hukuman penjara seumur hidup. Berikutan hal tersebut, kerajaan Thai
melantik Datu (Raja) Kun Pengkalan Pauh sebagai pemerintah Patani. Kerajaan
Thai kemudiannya memisahkan Songkhla daripada pentadbiran Nakorn Sri Thamarat
dan mewujudkan pentadbiran sendiri. Oleh
hal yang demikian, Patani diletakkan di bawah pentadbiran Songkhla. Pada tahun 1809, Datu Pengkalan Pauh pula
yang melancarkan serangan terhadap Pesuruhjaya Thai di Patani. Sekali lagi kerajaan Thailand bertindak balas
menghantar tentera ke Patani (A. Bangnara 1977:33-34). Pertempuran berlaku antara kedua-dua belah
pihak. Datu Pengkalan bersama kira-kira
4000 orang ditawan dan dibawa ke Bangkok.
Sejak itu, dalam usaha
mengukuhkan kedudukan Thai di Patani, Raja Rama II iaitu Putera Rama I telah menjalankan
dasar membahagikan Patani kepada tujuh negeri yang disebut sebagai Chet
Huamuang iaitu Pattani, Nogchick, Yaring (Jambu), Saiburi (Teluban), Rangae
(Legeh), Yala dan Remen dan diletakkan di bawah kawalan Raja Senggora. Manakala Raja yang memerintah negeri itu akan
dilantik oleh kerajaan Thailand. Tujuh buah negeri Melayu tersebut diletakan
dibawah pentadbiran Pesuruhjaya Thai.
Pattani di perintah oleh Tuan Sulung berpusat di Kerisik; Saiburi
(Teluban), Nik Diah; Nongchick, Tuan Nik; Yala, Tuan Jalur; Rangae (Legeh), Nik
Dah dan Reman, Tuan Mansur. Kerajaan
Thai memberi kepercayaan kepada raja-raja yang dilantik itu tetapi penentangan
masih dilakukan oleh penduduk Pattani pada tahun 1827 dan 1832 (A. Bangnara
1977:37-39).
Pada tahun 1827, Raja
Pattani, Nongchick, Yala, Reman, Legeh dan Saiburi mengambil keputusan membuat
pakatan untuk menentang kerajaan Thai.
Mereka membawa tentera ke Jering untuk menghalau pemerintah Thai dari
Pattani. Pakatan ini dikalahkan oleh
tentera Thai yang mendapat bantuan dari Senggora. Semua raja kecuali Raja Saiburi ditawan. Raja Saiburi diberi pengampunan kerana beliau
mengaku bersalah. Kerajaan Thailand
melantik Wan Yusof sebagai Raja Pattani.
Beliau juga dikenali sebagai Raja Tok Ki. Pada tahun 1831 Tengku Sulung, Raja Pattani
melakukan penentangan terhadap pemerintahan Thai (Abdul Halim Bashah 1994:160). Penentangan terhadap kerajaan Thai masih
diteruskan oleh raja-raja Melayu. Hal
ini kerana, mereka tidak ingin Patani dijadikan sebagai tanah jajahan Thai. Pada bulan Jun 1832, kerajaan Thailand di
bawah pemerintahan Phra Nangklao (Rama III, 1824-1851) telah melancarkan
serangan ke atas Pattani. Serangan ini
dipimpin oleh Prahkhlang (Ketua Jabatan Kalahom) dan gabenor Nakorn. Oleh kerana raja-raja Melayu mendapat berita
bahawa jumlah angkatan tentera Thailand besar, raja-raja Melayu memilih jalan
untuk berundur. Raja Pattani bersama
keluarga berundur ke Kelantan, Raja Reman dan Nogchick pula berundur ke Perak. Manakala
angkatan bantuan dari Kelantan dan Terengganu pula kembali ke negeri
masing-masing (Vella 1957:68). Pasukan
tentera di hantar sekitar Pattani untuk menghapuskan tentangan dan menangkap
para penentang. Raja Yala ditangkap dan
dibawa ke Bangkok. Raja Reman, Rangae
dan Saiburi menyerah diri dan bergabung dengan pasukan Thai. Raja-raja ini tidak dihukum, sebaliknya
dibenarkan terus mengetuai negeri masing-masing. Dalam serangan ini, pihak tentera Thai telah menawan
kira-kira 4000 orang dan di bawa ke Bangkok (A. Bangnara 1977:37-39). Selepas perang kerajaan Thailand membenarkan
raja-raja Melayu memerintah wilayah Melayu tetapi perlu menggunakan gelaran
Thai. Gelaran ini dianugerahkan sebagai
langkah mengukuhkan lagi kuasa Thailand terhadap negeri-negeri Melayu
tersebut. Raja Pattani digelar Phraya
Wichit Pakdi; Raja Yala, Phraya Narong Rit Pakdi; Raja Nogchick, Phraya Pchar
Phibul; Raja Jambu atau Yaring, Phraya Pipit Pakdi; Raja Rangae, Phraya Pupa
Pakdi dan Raja Saiburi, Phraya Rakna Pakdi.
Gelaran ini digunakan oleh raja Melayu sehingga tahun 1902.
Pada tahun 1845, Tuan
Besar atau Long Besar Kampung Laut Kelantan dibawa ke Pattani dan dilantik
sebagai Raja Pattani begelar Sultan Muhammad atau Phya Pipit Pakdi
(1845-1856). Baginda bersemayam di Teluk
tanjung sebelum mendirikan Istana Bahari di Cabang Tiga, Pattani. Keturunan Sultan Muhammad memerintah Pattani
sehingga sultan terakhir iaitu Sultan Abdul Kadir Kamaruddin (Abdul Halim
Bashah 1994:164-165). Tindakan kerajaan
Thai membawa Sultan Muhammad ke Pattani mengukuhkan lagi kedudukan pemerintah
Thai di Pattani. Ketika pemerintahan
Raja Chulalongkorn (Rama V), beberapa peraturan berkaitan pentadbiran dan
kedudukan raja di negeri Melayu yang berada di bawah naungan pemerintah Thai
telah dikuatkuasakan. Salah satu
peraturan tersebut ialah sistem Thesaphiban iaitu sistem pentadbiran wilayah yang digabungkan ke dalam
satu unit pentadbiran yang dipanggil sebagai Monthon
(Nik Anuar Nik Mahmud
1999:25). Menerusi sistem ini, tujuh
buah negeri Melayu iaitu Pattani, Yaring, Yala, Nongchick, Rangae, Raman dan
Saiburi disatukan sebagai Monthon Pattani.
Penguasa Pesuruhjaya pertama Monthon Pattani ialah Phraya Sakseni (Na
Bunnag). Empat wilayah dalam tujuh
negeri Melayu iaitu Nongchick, Raman, Yaring dan Rangae diturunkan taraf
menjadi daerah. Daerah Yaring dan
Nongchick disatukan dengan Pattani, manakala Raman, Yala dan Rangae disatukan
dengan Saiburi (Tej Bunnag 1977:158-159).
Raja sebagai ketua pentadbiran Negeri dan dibantu oleh kakitangan
kerajaan yang dilantik.
Pada 15 Januari 1896,
kerajaan Thailand menghantar Penguasa Pesuruhjaya berkhidmat di negeri-negeri
Melayu. Pan Sukhum (Phraya
Sukhumnaiwinit) dihantar ke Pattani memegang jawatan ini. Dalam pada itu Raja Chulalongkorn
mengingatkan Raja Pattani pada ketika itu iaitu Sultan Sarifuddin supaya
mendapatkan nasihat daripada Pesuruhjaya sekiranya menghadapi masalah yang
ditimbulkan oleh rakyat. Dalam usaha
memastikan segala rancangan ini berjalan lancar, Thailand menandatangani
perjanjian sulit dengan British pada tahun 1897. Pan Sukhum iaitu Penguasa Pesuruhjaya Nakorn
Sri Thamarat mengambil langkah untuk memusatkan pentadbiran kehakiman di tujuh
negeri Melayu dengan menghantar pesuruhjaya hakim Nakorn Sri Tamarat ke Pattani
pada tahun 1898. Konflik di Pattani yang
berlaku antara raja Melayu dan pemerintah Thai berterusan kerana pemerintah
Thai telah melakukan beberapa perubahan ke atas Pattani. Sebagai contoh, Pan
Sukhum telah memperkenalkan cukai pajakan arak dan candu yang baharu. Pajak candu dalam tujuh negeri Melayu iaitu
Pattani, Yala, Jering, Nongchick, Saiburi, Raman dan Legeh akan digabungkan di bawah
satu pusat (Margaret L. Koch 1977:71).
Selain itu, hasil kutipan cukai akan di bahagi dua iaitu antara
raja-raja Melayu dengan kerajaan negeri.
Akan tetapi kerajaan Melayu membantah cadangan ini. Sultan Sulaiman Sarifuddin yang mengetuai
raja-raja Melayu yang lain mengemukakan bantahan kepada Raja
Chulalongkorn. Namun begitu, Raja
Chulalongkorn menyokong rancangan Pan Sukhom.
Ketika tiga tahun pertama perlaksanaan cukai ini tujuh negeri melayu
tersebut berjaya memungut cukai arak dan candu sebanyak $30 200.00. Pada tahun pertama pungutan, Sultan Sulaiman
mendapat sepenuhnya bahagian hasil kutipan cukai negeri. Pembahagian yang dicadangkan ini tidak
dipatuhi oleh kerajaan negeri pada tahun berikutnya. Setelah Sultan Sulaiman mangkat pada tahun
1898, kerajaan Thailand tidak lagi meneruskan pembahagian hasil tersebut kepada
pengganti baginda, iaitu Sultan Abdul Kadir Kamaruddin walaupun baginda
menunutut hasil tersebut daripada kerajaan Thailand.
Kerajaan Thailand
memberikan pelbagai alasan untuk tidak membayar hasil cukai tersebut. Salah satu helah yang digunakan oleh kerajaan
Thai ialah meminta Sultan Abdul Kadir bersabar sehingga perkara ini
diselesaikan oleh pegawai atasan. Akan
tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila pegawai atasan tidak datang dan
mengambil tindakan terhadap tuntutan Sultan Abdul Kadir. Tengku Abdul Kadir menduduki jawatan sultan
selama dua tahun sebelum diiktiraf oleh kerajaan Thailand.[1]
Campur tangan pegawai Thailand dalam urusan perkahwinan dan penceraian orang
Melayu tanpa merujuk ulama telah menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati
Sultan Abdul Kadir, para pembesar dan penduduk Pattani. Dalam hal ini, Sultan Abdul Kadir ketika
singgah di Singapura dalam perjalanan balik dari Bangkok atas urusan menghantar
bunga emas memaklumkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemerintah Thailand
dan ingin berada di bawah perlindungan Raja England seperti mana Negeri-Negeri
Melayu Bersekutu. Pesuruhjaya yang
campur tangan dalam hal ehwal agama Islam terus menjalankan pentadbiran yang
menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat Pattani. Keadaan ini menyebabkan Sultan Abdul Kadir
mengemukakan bantahan kepada Raja Chulalongkorn, tetapi tidak mendapat
perhatian yang sewajarnya (Nik Anuar Nik Mahmud 1999:29). Campur tangan pemerintahan Thailand dalam
urusan yang berkaitan dengan agama Islam turut berlaku di Sai (Teluban). Mereka tidak sahaja mencampuri hal-hal yang
berkaitan dengan agama Islam sebaliknya, mereka juga menghina agama Islam. Di ibu negeri Sai iaitu di Selindung Bayu
pegawai Thai mengadakan upacara angkat sumpah semua pembesar Melayu dengan cara
memberi hormat kepada patung Buddha.
Disebabkan tindakan pegawai Thai ini Raja Dewa iaitu Raja Muda Sai
menghantar Haji Mat Salleh dan Haji Bidin ke Hulu Perak untuk bertemu hakim
daerah tersebut iaitu Bezzol pada 19 Disember 1898 untuk mendapatkan
perlindungan.
Pada tahun 1899,
peraturan baru mentadbir wilayah diluluskan lagi. Peraturan ini menyatakan perlantikan raja
negeri bukan lagi berdasarkan sistem warisan, tetapi menjadi hak pelantikan
Raja Thai. Raja negeri hanya berfungsi
sebagai kakitangan Raja Thai. Selain itu, raja juga tidak dibenarkan terlibat
dalam perniagaan. Pelaksanaan sistem
Thesaphiban ini menimbulkan rasa tidak puas hati raja-raja Melayu oleh kerana
menerusi sistem ini kuasa mereka tidak ada lagi (Ahmad Omar Chapakia
1977:87-89). Keadaan ini menambahkan
lagi tekanan kepada raja-raja Melayu. Pada
tahun 1901, Kementerian Dalam Negeri menyatukan pentadbiran tujuh buah negeri
Melayu sebagai Kawasan Tujuh wilayah (Area of the Seven Provinces/boriwen Chet
Huamuang). Pentadbirannya pula dipegang
oleh Pesuruhjaya Kawasan (Khaluang Boriwen) dan beliau tinggal di Pattani
(Nantawan Haemindra 1976:202).
Pesuruhjaya kawasan bertanggungjawab kepada Kementerian Dalam
Negeri. Kini tujuh buah negeri Melayu
tidak perlu lagi menghantar bunga emas ke Bangkok. Namun begitu segala hasil cukai dalam negeri
akan dikutip oleh pejabat hasil dalam negeri tersebut.
Kesan daripada campur
tangan kerajaan Thailand dalam urusan pentadbiran dan hal ehwal agama Pattani,
raja-raja Melayu menjalinkan hubungan dengan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri
Melayu dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Frank Swettenham. Mereka berpendapat bahawa kerajaan British
sahaja yang berupaya menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Raja Pattani iaitu Tengku Abdul Kadir
Kamaruddin; Raja Legeh, Tengku Ngah Samsuddin; Raja Reman, Tengku abdul Kandis
dan Raja Sai, Tengku Abdul Mutalib masing-masing mengutus surat kepada Frank
Swettenham untuk memeohon bantuan. Dalam suratnya, Sultan Abdul Kadir
Kamaruddin meminta supaya British campur tangan untuk memulihkan kembali
kedaulatan Raja Pattani. Walaupun Swettenham bersimpati dengan masalah yang
dihadapi oleh Raja Pattani, tetapi beliau tidak mengambil sebarang
tindakan. Beliau hanya mencadangkan supaya
Sultan Abdul Kadir membawa perkara tersebut kepada kerajaan Thailand. Swettenham hanya memaklumkan secara tidak
langsung kepada Raja Chulalongkorn yang berada di Singapura ketika itu bahawa
segala cukai yang dipungut dalam negeri Melayu di bawah perlindungan British
dibelanjakan untuk negeri tersebut. Swettenham bertindak sedemikian kerana
ingin menjaga hubungan persahabatan antara British dengan Siam. Sultan Abdul
Kadir kemudiannya mengadakan mesyuarat dengan raja-raja Melayu lain di istana
Cabang Tiga, Pattani. Mereka membincangkan tentang tindakan yang perlu diambil untuk
kepentingan negeri-negeri Melayu dan masyarakat Melayu. Dalam mesyuarat tersebut, semua pihak
bersetuju tindakan bersenjata akan dilakukan pada bulan Oktober 1901, sekiranya
Siam terus campur tangan dalam kerajaan Melayu.
Pada 13 Ogos 1901,
Sultan Abdul Kadir Kamaruddin telah menulis surat kepada Frank Swettenham
mengadu kerajaan Thailand menganggu pemerintahan baginda dan menimbulkan
kekacauan dalam kalangan penduduk Pattani.
Sultan Abdul Kadir meminta campur tangan British di Pattani. Raja Thai mendapat maklumat mengenai aduan
Sultan Abdul Kadir ini dan menjemput Frank Swettenham berunding dan cadangan
tersebut disokong oleh Pejabat Luar.
Dalam pada itu, Sultan Abdul Kadir meminta bantuan R.W. Duff membantu
baginda melancarkan gerakan tentangan terhadap kerajaan Thai. Namun R.W. Duff tidak bersetuju dengan
cadangan tersebut sebaliknya mengesyorkan supaya baginda berunding dengan
kerajaan Thailand mengemukakan tuntutan melalui kerajaan British. R.W. Duff menyatakan jika tindakan kekerasan
diambil dalam menyelesaikan masalah ini ia akan menjatuhkan kedudukan Sultan
Abdul Kadir sendiri dan menyebabkan ramai penduduk Pattani terkorban. Oleh hal yang demikian, baginda menghantar surat
tuntutannya melalui Syarikat Guaman kepada Swettenham (Nik Anuar Nik Mahmud
1999:30).
Dalam tuntutan itu, Sultan Abdul Kadir menyatakan
kekejaman pegawai Thai dalam melakukan pungutan cukai dan agama Islam. Selain
itu, penglibatan ini bercanggah dengan perkara yang tercatat dalam surat pelantikan
yang dibuat oleh raja Chulalongkorn kepada Sultan Abdul Kadir. Sultan Abdul kadir turut menyatakan bahawa
beliau akan mendapatkan bantuan daripada kuasa lain jika British enggan
membantu. Sikap Sultan Abdul Kadir ini
telah membimbangkan Swettenham. Oleh
sebab itu beliau mengambil keputusan untuk mengadakan rundingan dengan Sultan
Abdul Kadir di Singapura pada bulan Oktober 1901. Dalam rundingan tersebut, Swettenham
menasihati Sultan Abdul Kadir menangguhkan rancangan melancarkan tentangan dan
memberi jaminan akan memulihkan semula kekuasaan Sultan Abdul Kadir. Selain itu, beliau juga akan memanjangkan
tuntutan baginda kepada kerajaan British di London. Dengan itu Sultan Abdul Kadir bersetuju
dengan cadangan Swettenham. Ancaman yang
dilakukan oleh Sultan Abdul Kadir telah menyebabkan wujud perasaan kurang
senang kepada Sweetenham. Keadaan ini
menyebabkan Sweetenham telah mengharamkan eksport senjata ke Pattani (Nik Anuar
Nik Mahmud 1999:31). Setelah mendapat
surat Swettenham mengenai keadaan di Pattani, Pejabat Tanah jajahan London
menghantar surat kepada Menteri British di Bangkok iaitu Archer supaya
berbincang dengan Putera Damrong. Putera
Damrong kemudiannya menghantar timbalannya Phya Sri Sahadhed ke Pattani untuk
menjalankan siasatan. Sebelum berangkat
ke Pattani, Phya Sri Sahadhed telah berunding dengan R.W. Duff tentang keadaan
di Pattani. Duff menyatakan tidak ada sebarang
kekacaun yang berlaku di Pattani tetapi beliau menyatakan kekacauan akan
berlaku sekiranya kerajaan Thai tidak mengambil langkah dalam menyelesaikan
ketidakpuasan hati penduduk Pattani.
R.W. Duff telah mengesyorkan kepada kerajaan Thai melakukan rundingan
dengan raja-raja Melayu.
Tindakkan kerajaan
Thailand yang campur tangan dalam urusan pentadbiran, agama dan cukai di
Pattani telah menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu di selatan Thai.
Contohnya, dalam urusan pentadbiran, Patani telah dipecahkan kepada beberapa
wilayah. Wilayah-wilayah ini ditadbir
oleh raja-raja Melayu yang dilantik oleh kerajaan Thailand. Mereka terpaksa tunduk kepada kerajaan
Thailand, sekiranya mereka melakukan penentangan dan tidak mengikuti arahan
kerajaan Thailand mereka akan dipecat dan ditangkap. Dalam aspek agama pula, kerajaan Thai telah mengurangkan
kuasa Kadi dan campur tangan dalam urusan adat dan budaya masyarakat
Melayu-Islam. Dari aspek cukai pula,
kerajaan Thai tidak mengotakan janjinya untuk membahagikan hasil cukai di
wilayah selatan Thai kepada raja-raja Melayu dan raja-raja Melayu tidak
mempunyai kuasa untuk mengutip cukai.
Keadaan ini akhirnya telah membawa kepada penentangan oleh raja dan
masyarakat Melayu terhadap kerajaan Thailand.
Semasa rundingan antara
Raja Chulalongkorn dan Swettenham iaitu wakil Brtish, beliau telah mengemukakan
tiga pilihan dalam menyelesaikan masalah Pattani iaitu, pertama Thailand
hendaklah membebaskan negeri-negeri Melayu Pattani, kedua, kerajaan Thailand
hendaklah melantik pegawai British yang berpengalaman bagi mentadbir
negeri-negeri Melayu Pattani, dan ketiga ialah kerajaan Thailand hendaklah
memberi kuasa kepada British untuk mendapatkan persetujuan negeri-negeri Melayu
Pattani supaya menyerahkan segala hal ehwal luar kepada kerajaan Thailand. Walaupun Raja Chulalongkorn cenderung menerima
cadangan Swettenham tersebut, tetapi pegawai Bangkok khususnya Kementerian
Dalam Negeri tidak mahu campur tangan British dalam negeri Melayu itu.
Pada 20 Februari 1902,
kerajaan Thailand melalui Setiausaha Kementerian Dalam Negerinya datang
berunding dengan Sultan Abdul Kadir di Pattani. Dalam rundingan tersebut,
Sultan Abdul Kadir dikehendaki menandatangani surat yang mengandungi perkara
pentadbiran tujuh wilayah bagi tahun 1902, tetapi baginda enggan menandatangai
surat tersebut. Keengganan baginda
menyebabkan baginda dilucutkan dari takhta kerajaan Pattani pada 6 Mac 1902 dan
raja-raja Melayu yang lain turut ditangkap.
Takhta kerajaan Pattani digantikan oleh Tengku Kadir atau Tengku
Pitak. Tindakan kerajaan Siam ini menimbulkan
tindakan balas daripada kerabat diraja Pattani, akhbar dan pihak British. Masing-masing mendesak supaya kerajaan Siam
membebaskan raja-raja Melayu. Disebabkan
oleh desakan penduduk tempatan dan pihak British, kerajaan Thailand mengambil
keputusan membebaskan raja-raja Pattani. Namun begitu, kerajaan Thailand hanya sanggup
membebaskan mereka jika bersedia menurunkan tandatangan bersumpah tidak akan
mencetuskan tentangan dan berkelakuan baik.
Tengku Abdul Kadir enggan bersumpah sebaliknya menghantar surat kepada
raja Thailand memohon ampun di atas kesalahan lepas, memohon dihantar pulang ke
Pattani dan berjanji berkelakuan baik pada masa akan datang.
Tengku Samsuddin dan
Tengku Abdul Mutalib dibebaskan pada bulan April 1903. Tengku Abdul Kadir dibebaskan pada 5 Mac 1904
setelah mengaku bersalah dan berjanji akan hidup seperti orang biasa serta
tidak akan terlibat dalam hal ehwal politik (Kobkua Suwannanthat-Pian 1988:181). Pada tahun 1905, Tengku Abdul Kadir bersama
keluarga berpindah ke Kelantan. Mulai
tahun 1902, Pattani menjadi sebahagian daripada negeri Thailand. Kerajaan Thailand kemudiannya mengubah lagi
struktur pentadbiran Pattani daripada tujuh buah negeri kepada empat buah
negeri sahaja pada tahun 1906 (Worawit
Baru 1990:11). Negeri
tersebut ialah Pattani (termasuk Nongchick dan Jambu), Yala (termasuk Reman),
Saiburi (Teluban) dan Bagnara (Legeh) (Ahmad Fathy al-Fatani 1994:60).
Perubahan
sistem dan bentuk pentadbiran ini mengakibatkan kedaulatan raja sudah tidak ada
lagi di Pattani. Suasana ini menimbulkan
perasaan tidak puas hati dalam kalangan penduduk Pattani dan mereka menentang
pentadbiran Thailand. Pada 10 Jun 1915,
negeri Bangnara ditukar sebagai Narathiwat (Worawit Baru 1990:12). Pada 19 Mei
1916 kerajaan Thailand memperkenalkan lagi pentadbiran baru di Pattani dan
menukar nama negeri kepada wilayah (Changwad).
Pada tahun 1923,
meletus lagi tentangan terhadap pemerintahan Thai di wilayah selatan. Penentangan ini berlaku kerana pegawai Thai
membatalkan konsesi kawasan bijih timah Tengku Abdul Kadir Kamaruddin. Selain itu, pentadbiran Thai di Pattani juga
telah melaksanakan pungutan cukai. Dalam
pada itu, terdapat beberapa cukai tertentu dinaikkan. Pada awal bulan Januari 1923, berlaku
pertempuran antara kedua-dua pihak. Dalam
kejadian tersebut ramai orang Melayu ditahan jumlahnya tidak kurang daripada
200 orang. Dalam pertempuran tersebut
Tengku Abdul Kadir sempat berundur ke negeri Kelantan. Walaupun kebangkitan orang Melayu gagal,
namun ia telah mendapat perhatian daripada Raja Vajiravudh. Baginda mengarahkan Kementerian Dalam Negeri
pada Julai 1923 supaya menghantar pegawai yang bersih daripada skandal untuk
bertugas di Pattani. Selain itu, Gabenor
Pattani iaitu, Phya Deshanuchit ditukar dan Raja Vajiravudh juga menjalankan
dasar tolak ansur terhadap orang Melayu di wilayah selatan. Baginda mengeluarkan arahan kepada
Kementerian Dalam Negeri No. 3/78 pada
bulan Julai 1923 yang bernama Lak Ratta Prasas Nobai iaitu Dasar Asas
Pemerintahan untuk diikuti sebagai panduan baru. Antara asas penting dalam pentadbiran ini
ialah memberikan kebebasan kepada orang Melayu di selatan. Dasar pertama arahan ini menyatakan adalah
perlu untuk menghapuskan segala peraturan atau tindakan yang dipandang oleh
penduduk negeri sebagai menindas agama Islam.
Manakala peraturan yang baru hendak digubal pula hendaklah membantu
menguatkuasakan agama dan tidak bercanggah dengan agama Islam (Ahmad Omar Chapakia 1997:101). Jumlah cukai yang dikenakan kepada orang
Melayu juga hendaklah lebih rendah berbanding cukai-cukai yang dikenakan oleh
pihak British terhadap negeri Melayu yang dibawah pentadbirannya. Pegawai kerajaan yang hendak dihantar ke
Pattani mestilah seorang yang jujur, tegas serta tidak boleh menghantar pegawai
yang mempunyai kesalahan bertugas di Pattani.
Berdasarkan perbincangan di atas dapat dirumuskan bahawa penentangan
yang dilakukan oleh raja-raja dan masyarakat Melayu terhadap kerajaan Thai pada
peringkat awalnya adalah disebabkan oleh faktor sejarah. Faktor sejarah adalah punca yang
mengakibatkan konflik ini berlaku. Pada
awalnya wilayah Patani ini adalah milik raja Melayu. Namun kekalahan Patani
terhadap kerajaan Siam dalam peperangan menyebabkan Patani menjadi tanah
jajahan kerajaan Siam. Walaupun Patani
telah ditakluk oleh kerajaan Siam, namun raja-raja dan masyarakat Melayu masih
melakukan penentangan terhadap kerajaan Siam kerana mereka mahu Patani menjadi
sebuah kerajaan yang bebas. Keinginan yang tinggi untuk membebaskan Patani dari
kerajaan Siam ini telah menyebabkan masyarakat Melayu dan raja-raja Patani
melakukan penentangan secara berterusan terhadap kerajaan siam.
Selain itu, penentangan
raja-raja dan masyarakat Melayu terhadap kerajaan Thailand juga berlaku
disebabkan oleh tindakkan kerajaan Thailand yang campur tangan dalam hal ehwal
agama Islam, budaya, cukai dan perlantikan raja-raja Melayu. Tindakkan kerajaan
Thailand mengurangkan kuasa raja-raja Melayu juga telah meyebabkan masyarakat
Melayu dan raja-raja Melayu di selatan Thai semakin tertekan. Selepas perang dunia kedua keadaan konflik di
selatan Thai mula berubah. Banyak dasar
kerajaan Thai yang bersifat menekan masyarakat setempat dilakukan.
[1]Perlantikan
Sultan Abdul Kadir sebagai sultan ditulis dan diserah sendiri oleh raja
Chulalongkorn ketika melawat Pattani (Nik Anuar Nik Mahmud 1999:28).
ke mana perginya anaknya Tengku Yusuf Nuruddin? meninggal pd usia muda atau dihilangkan jejaknya?
ReplyDelete