Wednesday, 16 May 2012

konflik di selatan thai


PENGENALAN
Negara Thailand adalah negara jiran yang terdekat dengan negara Malaysia.  Negara ini dahulunya dikenali sebagai Siam sehinggalah pada 11 Mei 1949. Negara ini merupakan negara yang ke-49 terbesar di dunia dengan anggaran keluasan 513,115 km2 dan merupakan negara yang ke-19 di dunia mempunyai bilangan penduduk yang ramai dengan anggaran 64 juta orang.  Penduduk majoriti negara Thailand ialah kaum Siam yang beragama Buddha, namun terdapat juga kaum-kaum minoriti yang lain seperti kaum Cina dan Melayu. Negara Thailand dibahagikan kepada 75 provinsi atau changwat, yang mana ia di bahagikan kepada 5 kumpulan iaitu bahagian Utara, Timur Laut, Timur, Tengah dan Selatan.  Penduduk di selatan Thailand iaitu di wilayah Pattani, Yala dan juga Narathiwat adalah beragama Islam yang jumlahnya hampir 4% daripada keseluruhan penduduk Thailand.  Di bahagian selatan Thailand sering berlaku konflik etnik antara etnik Siam-Buddha dengan etnik Melayu-Islam.  Salah satu faktor yang meyebabkan berlakunya konflik di selatan Thai ialah faktor tekanan pihak kerajaan ke atas masyarakat minoriti Islam di wilayah berkenaan (Zarina Othman 2006:202).
Konflik antara kerajaan Pusat dengan wilayah-wilayah selatan Thailand iaitu wilayah Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun sering berlaku kerana wujudnya perbezaan kepentingan antara kerajaan pusat dengan penduduk-penduduk wilayah selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam.  Konflik yang sering berlaku antara pemerintah dengan penduduk-penduduk di wilayah ini telah membawa kepada beberapa siri penentangan.  Pertubuhan-pertubuhan atau gerakan-gerakan pemisah ditubuhkan oleh penduduk-penduduk di wilayah berkenaan disebabkan wujudnya diskriminasi dan tekanan oleh pihak pemerintah.  Antara gerakan pemisah yang ditubuhkan ialah Barisan Nasional Pembebasan Pattani (BNPP), Barisan Revolusi Nasional (BRN), Pattani United Liberation Organisation (PULO), United Front for the Independence of Pattani (BERSATU) dan gerakan Muhajideen Islam Pattani (GMIP).
Dari sudut sejarah, Patani adalah sebahagian daripada Tanah Melayu yang tertua kerana sejarahnya bermula sejak dari kerajaan Melayu Langkasuka pada abad pertama masihi lagi, diikuti dengan kerajaan Melayu Seri Wijaya pada abad ke-7 Masihi.  Seterusnya pada abad ke-14 Masihi nama kerajaan Melayu Patani disebut oleh penulis-penulis dan pedagang-pedagang dari Barat (Mohd Zamberi A. Malek 1993:1-18).  Pada pertengahan abad ke-19, Patani telah menjadi mangsa dasar imperialistik kerajaan Siam melalui satu perjanjian antara Siam dengan British pada tahun 1909 yang menyebabkan sistem kesultanan Melayu Patani telah dihapuskan tanpa kerelaan mereka (Nik Anuar Nik Mahmud 1999:102).  Keadaan ini telah menimbulkan perasaan benci dalam kalangan penduduk Melayu-Islam terhadap kerajaan Siam yang mana ia telah membentuk konflik.
Ini kerana sejak pemerintahan Kesultanan Melayu Patani dihapuskan, orang-orang Melayu-Patani berada dalam keadaan daif dan tertekan.  Konsul British, W.A.R. Wood di Songkhla, merungkaikan orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang misgoverned. Justeru itu tidak hairanlah kekacaun sering berlaku di Patani.  Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, iaitu bekas raja kerajaan Melayu Patani, dengan pejuang-pejuang Turki telah mengepalai gerakan pembebasan.  Kebangkitan anti Siam menjadi lebih hebat apabila kerajaan Phibul Songgram (1939-1944) telah cuba mengasimilasikan kaum minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Dasar Rathaniyom (Omar Chapakia 2000:62-64).    
Sehubungan dengan kenyataan di atas, bab ini membincangkan latar belakang konflik selatan Thailand, konflik dan situasi politik selepas perang dunia kedua, kemunculan gerakan pejuang Muslim dan faktor-faktor berlakunya konflik di selatan Thailand.

 
LATAR BELAKANG KONFLIK WILAYAH SELATAN THAILAND
Selatan Thailand merujuk pada 14 wilayah yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian atas dan bahagian bawah.  Selatan Thailand bahagian atas terdiri daripada wilayah Chumpon (Grahi), Surathani (Tambralinga), Nakorn Sri Thamarat (Legor), Pangga, Phuket, Krabi, Trang dan Pathalung.  Manakala selatan Thailand bawah pula terdiri daripada Songkhla (Senggora), Satun (Setul), Pattani, Yala (Jalor) dan Narathiwat (Menara) yang mana dikenali sebagai wilayah sempadan selatan (Changwad Chaidaern Pak Tai) (Omar Chapakia 1997:1).
Dari segi sejarahnya, kemunculan sebenar kerajaan Patani tidak diketahui dengan jelas, namun berdasarkan bukti yang ada, Pattani menjadi sebuah kerajaan Islam pada tahun 1457 apabila Pya Tu Nakpa memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Ismail Shah Zilalullah  fil Alam (Teeuw & Wyat 1970: 68-70).  Pada tahun 1516 Patani menjadi tumpuan perdagangan dan seterusnya berkembang dengan pesatnya pada tahun 1538.  Terdapat kira-kira 300 orang Portugis di Patani menjalankan perdagangan dengan saudagar dari Arab, Parsi, India dan Kepulauan Melayu.  Kerajaan Patani yang berkembang menjadi sebuah kesultanan kemudiannya menghadapi ancaman daripada kerajaan Thai di Utara.  Kerajaan Thai melakukan ancaman ke atas kerajaan Patani kerana, ia melihat kerajaan Patani mampu memberi ancaman terhadap negaranya.
Kerajaan Melayu Patani yang terdiri daripada Pattani, Jalor (Yala), Menara (Narathiwat), Chenak (Chana), dan Tiba (Theeba) mencapai kemuncak kegemilangan di bawah pemerintahan empat raja perempuan iaitu Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning.  Kerajaan Melayu Patani menghadapi serangan daripada tentera Thailand pada tahun 1603, semasa pemerintahan Raja Hijau dan telah mengalami kekalahan.  Keadaan ini telah membawa kepada konflik antara kerajaan Patani yang majoriti penduduknya beragama Islam dengan kerajaan Thailand.  Namun begitu pada masa itu, kerajaan Thai tidak menduduki Patani, sebaliknya pulang. Kerajaan Patani kemudiannya berjaya memulihkan negerinya kembali. Seterusnya angkatan tentera Thai di bawah Okya Decha sekali lagi melancarkan serangan terhadap Pattani pada tahun 1632 tetapi dikalahkan oleh tentera Pattani.  Kekalahan yang dialami oleh tentera Thailand tidak melemahkan mereka untuk menyerang kembali Pattani dan mereka terus melakukan serangan terhadap kerajaan Pattani pada tahun 1633.  Dalam serangan tersebut, tentera Thailand sekali lagi dikalahkan oleh tentera Pattani.  Serangan seterusnya dilakukan pada tahun 1786.  Tentera Thai telah memusnahkan pusat pentadbiran dan menahan ribuan orang Melayu dan di bawa ke Bangkok.  Selain itu, tentera Thai juga merampas harta benda dan di antara harta tersebut ialah meriam besar Seri Patani dan dibawa ke Bangkok.  Kesan daripada kekalahan ini, Patani dikehendaki menghantar bunga emas tiga tahun sekali ke Bangkok sebagai tanda taat setia kepada kerajaan Thailand.  Kerajaan Thailand turut memisahkan Chenak dan Tiba daripada kerajaan Patani dan diletakkan di bawah pentadbiran Nakorn Sri Thamarat (Kobkua Suwanathat 1991:36-37).  Dalam pada itu kerajaan Thai pula menjalankan pelbagai langkah dan usaha untuk mengurangkan kekuatan ketenteraan Patani.  Konflik antara kerajaan Thai dan kerajaan Patani masih berterusan walaupun Pattani telah mengalami kekalahan kepada kerjaan Thai.  Keadaan ini dapat dilihat menerusi penentangan yang dilakukan oleh Tengku Lamidin yang telah dilantik oleh kerajaan Thailand sebagai Raja Patani.  Kerajaan Melayu Patani di bawah pemerintahan Tengku Lamidin tidak mematuhi arahan Raja Thailand dan melancarkan gerakan penentangan terhadap keajaan Thailand pada tahun 1789.  Penentangan ini dilakukan kerana Tengku Lamidin tidak ingin kerajaan Patani ditakluki oleh kerajaan Thai.  Angkatan tentera Patani berjaya mengalahkan tentera Thailand dan menduduki semula Chenak dan Tiba serta menguasai Songkhla. 
Namun begitu pada tahun 1791, Patani dikuasai semula oleh tentera Thai.  Tengku Lamidin ditangkap dan djatuhi hukuman penjara seumur hidup.  Berikutan hal tersebut, kerajaan Thai melantik Datu (Raja) Kun Pengkalan Pauh sebagai pemerintah Patani. Kerajaan Thai kemudiannya memisahkan Songkhla daripada pentadbiran Nakorn Sri Thamarat dan mewujudkan pentadbiran sendiri.  Oleh hal yang demikian, Patani diletakkan di bawah pentadbiran Songkhla.  Pada tahun 1809, Datu Pengkalan Pauh pula yang melancarkan serangan terhadap Pesuruhjaya Thai di Patani.  Sekali lagi kerajaan Thailand bertindak balas menghantar tentera ke Patani (A. Bangnara 1977:33-34).  Pertempuran berlaku antara kedua-dua belah pihak.  Datu Pengkalan bersama kira-kira 4000 orang ditawan dan dibawa ke Bangkok.
Sejak itu, dalam usaha mengukuhkan kedudukan Thai di Patani, Raja Rama II iaitu Putera Rama I telah menjalankan dasar membahagikan Patani kepada tujuh negeri yang disebut sebagai Chet Huamuang iaitu Pattani, Nogchick, Yaring (Jambu), Saiburi (Teluban), Rangae (Legeh), Yala dan Remen dan diletakkan di bawah kawalan Raja Senggora.  Manakala Raja yang memerintah negeri itu akan dilantik oleh kerajaan Thailand. Tujuh buah negeri Melayu tersebut diletakan dibawah pentadbiran Pesuruhjaya Thai.  Pattani di perintah oleh Tuan Sulung berpusat di Kerisik; Saiburi (Teluban), Nik Diah; Nongchick, Tuan Nik; Yala, Tuan Jalur; Rangae (Legeh), Nik Dah dan Reman, Tuan Mansur.  Kerajaan Thai memberi kepercayaan kepada raja-raja yang dilantik itu tetapi penentangan masih dilakukan oleh penduduk Pattani pada tahun 1827 dan 1832 (A. Bangnara 1977:37-39).
Pada tahun 1827, Raja Pattani, Nongchick, Yala, Reman, Legeh dan Saiburi mengambil keputusan membuat pakatan untuk menentang kerajaan Thai.  Mereka membawa tentera ke Jering untuk menghalau pemerintah Thai dari Pattani.  Pakatan ini dikalahkan oleh tentera Thai yang mendapat bantuan dari Senggora.  Semua raja kecuali Raja Saiburi ditawan.  Raja Saiburi diberi pengampunan kerana beliau mengaku bersalah.  Kerajaan Thailand melantik Wan Yusof sebagai Raja Pattani.  Beliau juga dikenali sebagai Raja Tok Ki.  Pada tahun 1831 Tengku Sulung, Raja Pattani melakukan penentangan terhadap pemerintahan Thai (Abdul Halim Bashah 1994:160).  Penentangan terhadap kerajaan Thai masih diteruskan oleh raja-raja Melayu.  Hal ini kerana, mereka tidak ingin Patani dijadikan sebagai tanah jajahan Thai.  Pada bulan Jun 1832, kerajaan Thailand di bawah pemerintahan Phra Nangklao (Rama III, 1824-1851) telah melancarkan serangan ke atas Pattani.  Serangan ini dipimpin oleh Prahkhlang (Ketua Jabatan Kalahom) dan gabenor Nakorn.  Oleh kerana raja-raja Melayu mendapat berita bahawa jumlah angkatan tentera Thailand besar, raja-raja Melayu memilih jalan untuk berundur.  Raja Pattani bersama keluarga berundur ke Kelantan, Raja Reman dan Nogchick pula berundur ke Perak. Manakala angkatan bantuan dari Kelantan dan Terengganu pula kembali ke negeri masing-masing (Vella 1957:68).  Pasukan tentera di hantar sekitar Pattani untuk menghapuskan tentangan dan menangkap para penentang.  Raja Yala ditangkap dan dibawa ke Bangkok.  Raja Reman, Rangae dan Saiburi menyerah diri dan bergabung dengan pasukan Thai.  Raja-raja ini tidak dihukum, sebaliknya dibenarkan terus mengetuai negeri masing-masing.  Dalam serangan ini, pihak tentera Thai telah menawan kira-kira 4000 orang dan di bawa ke Bangkok                 (A. Bangnara 1977:37-39).  Selepas perang kerajaan Thailand membenarkan raja-raja Melayu memerintah wilayah Melayu tetapi perlu menggunakan gelaran Thai.  Gelaran ini dianugerahkan sebagai langkah mengukuhkan lagi kuasa Thailand terhadap negeri-negeri Melayu tersebut.  Raja Pattani digelar Phraya Wichit Pakdi; Raja Yala, Phraya Narong Rit Pakdi; Raja Nogchick, Phraya Pchar Phibul; Raja Jambu atau Yaring, Phraya Pipit Pakdi; Raja Rangae, Phraya Pupa Pakdi dan Raja Saiburi, Phraya Rakna Pakdi.  Gelaran ini digunakan oleh raja Melayu sehingga tahun 1902.
Pada tahun 1845, Tuan Besar atau Long Besar Kampung Laut Kelantan dibawa ke Pattani dan dilantik sebagai Raja Pattani begelar Sultan Muhammad atau Phya Pipit Pakdi (1845-1856).  Baginda bersemayam di Teluk tanjung sebelum mendirikan Istana Bahari di Cabang Tiga, Pattani.  Keturunan Sultan Muhammad memerintah Pattani sehingga sultan terakhir iaitu Sultan Abdul Kadir Kamaruddin (Abdul Halim Bashah 1994:164-165).  Tindakan kerajaan Thai membawa Sultan Muhammad ke Pattani mengukuhkan lagi kedudukan pemerintah Thai di Pattani.  Ketika pemerintahan Raja Chulalongkorn (Rama V), beberapa peraturan berkaitan pentadbiran dan kedudukan raja di negeri Melayu yang berada di bawah naungan pemerintah Thai telah dikuatkuasakan.  Salah satu peraturan tersebut ialah sistem Thesaphiban iaitu sistem pentadbiran wilayah yang digabungkan ke dalam satu unit pentadbiran yang dipanggil sebagai Monthon  (Nik Anuar Nik Mahmud 1999:25).  Menerusi sistem ini, tujuh buah negeri Melayu iaitu Pattani, Yaring, Yala, Nongchick, Rangae, Raman dan Saiburi disatukan sebagai Monthon Pattani.  Penguasa Pesuruhjaya pertama Monthon Pattani ialah Phraya Sakseni (Na Bunnag).  Empat wilayah dalam tujuh negeri Melayu iaitu Nongchick, Raman, Yaring dan Rangae diturunkan taraf menjadi daerah.  Daerah Yaring dan Nongchick disatukan dengan Pattani, manakala Raman, Yala dan Rangae disatukan dengan Saiburi (Tej Bunnag 1977:158-159).  Raja sebagai ketua pentadbiran Negeri dan dibantu oleh kakitangan kerajaan yang dilantik.
Pada 15 Januari 1896, kerajaan Thailand menghantar Penguasa Pesuruhjaya berkhidmat di negeri-negeri Melayu.  Pan Sukhum (Phraya Sukhumnaiwinit) dihantar ke Pattani memegang jawatan ini.  Dalam pada itu Raja Chulalongkorn mengingatkan Raja Pattani pada ketika itu iaitu Sultan Sarifuddin supaya mendapatkan nasihat daripada Pesuruhjaya sekiranya menghadapi masalah yang ditimbulkan oleh rakyat.                               Dalam usaha memastikan segala rancangan ini berjalan lancar, Thailand menandatangani perjanjian sulit dengan British pada tahun 1897.  Pan Sukhum iaitu Penguasa Pesuruhjaya Nakorn Sri Thamarat mengambil langkah untuk memusatkan pentadbiran kehakiman di tujuh negeri Melayu dengan menghantar pesuruhjaya hakim Nakorn Sri Tamarat ke Pattani pada tahun 1898.  Konflik di Pattani yang berlaku antara raja Melayu dan pemerintah Thai berterusan kerana pemerintah Thai telah melakukan beberapa perubahan ke atas Pattani. Sebagai contoh, Pan Sukhum telah memperkenalkan cukai pajakan arak dan candu yang baharu.  Pajak candu dalam tujuh negeri Melayu iaitu Pattani, Yala, Jering, Nongchick, Saiburi, Raman dan Legeh akan digabungkan di bawah satu pusat (Margaret L. Koch 1977:71).  Selain itu, hasil kutipan cukai akan di bahagi dua iaitu antara raja-raja Melayu dengan kerajaan negeri.  Akan tetapi kerajaan Melayu membantah cadangan ini.  Sultan Sulaiman Sarifuddin yang mengetuai raja-raja Melayu yang lain mengemukakan bantahan kepada Raja Chulalongkorn.  Namun begitu, Raja Chulalongkorn menyokong rancangan Pan Sukhom.  Ketika tiga tahun pertama perlaksanaan cukai ini tujuh negeri melayu tersebut berjaya memungut cukai arak dan candu sebanyak $30 200.00.  Pada tahun pertama pungutan, Sultan Sulaiman mendapat sepenuhnya bahagian hasil kutipan cukai negeri.  Pembahagian yang dicadangkan ini tidak dipatuhi oleh kerajaan negeri pada tahun berikutnya.  Setelah Sultan Sulaiman mangkat pada tahun 1898, kerajaan Thailand tidak lagi meneruskan pembahagian hasil tersebut kepada pengganti baginda, iaitu Sultan Abdul Kadir Kamaruddin walaupun baginda menunutut hasil tersebut daripada kerajaan Thailand.
Kerajaan Thailand memberikan pelbagai alasan untuk tidak membayar hasil cukai tersebut.  Salah satu helah yang digunakan oleh kerajaan Thai ialah meminta Sultan Abdul Kadir bersabar sehingga perkara ini diselesaikan oleh pegawai atasan.  Akan tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila pegawai atasan tidak datang dan mengambil tindakan terhadap tuntutan Sultan Abdul Kadir.  Tengku Abdul Kadir menduduki jawatan sultan selama dua tahun sebelum diiktiraf oleh kerajaan Thailand.[1] Campur tangan pegawai Thailand dalam urusan perkahwinan dan penceraian orang Melayu tanpa merujuk ulama telah menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati Sultan Abdul Kadir, para pembesar dan penduduk Pattani.  Dalam hal ini, Sultan Abdul Kadir ketika singgah di Singapura dalam perjalanan balik dari Bangkok atas urusan menghantar bunga emas memaklumkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemerintah Thailand dan ingin berada di bawah perlindungan Raja England seperti mana Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.  Pesuruhjaya yang campur tangan dalam hal ehwal agama Islam terus menjalankan pentadbiran yang menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat Pattani.  Keadaan ini menyebabkan Sultan Abdul Kadir mengemukakan bantahan kepada Raja Chulalongkorn, tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya (Nik Anuar Nik Mahmud 1999:29).  Campur tangan pemerintahan Thailand dalam urusan yang berkaitan dengan agama Islam turut berlaku di Sai (Teluban).  Mereka tidak sahaja mencampuri hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam sebaliknya, mereka juga menghina agama Islam.  Di ibu negeri Sai iaitu di Selindung Bayu pegawai Thai mengadakan upacara angkat sumpah semua pembesar Melayu dengan cara memberi hormat kepada patung Buddha.  Disebabkan tindakan pegawai Thai ini Raja Dewa iaitu Raja Muda Sai menghantar Haji Mat Salleh dan Haji Bidin ke Hulu Perak untuk bertemu hakim daerah tersebut iaitu Bezzol pada 19 Disember 1898 untuk mendapatkan perlindungan. 
Pada tahun 1899, peraturan baru mentadbir wilayah diluluskan lagi.  Peraturan ini menyatakan perlantikan raja negeri bukan lagi berdasarkan sistem warisan, tetapi menjadi hak pelantikan Raja Thai.  Raja negeri hanya berfungsi sebagai kakitangan Raja Thai. Selain itu, raja juga tidak dibenarkan terlibat dalam perniagaan.  Pelaksanaan sistem Thesaphiban ini menimbulkan rasa tidak puas hati raja-raja Melayu oleh kerana menerusi sistem ini kuasa mereka tidak ada lagi (Ahmad Omar Chapakia 1977:87-89).  Keadaan ini menambahkan lagi tekanan kepada raja-raja Melayu.  Pada tahun 1901, Kementerian Dalam Negeri menyatukan pentadbiran tujuh buah negeri Melayu sebagai Kawasan Tujuh wilayah (Area of the Seven Provinces/boriwen Chet Huamuang).  Pentadbirannya pula dipegang oleh Pesuruhjaya Kawasan (Khaluang Boriwen) dan beliau tinggal di Pattani (Nantawan Haemindra 1976:202).  Pesuruhjaya kawasan bertanggungjawab kepada Kementerian Dalam Negeri.  Kini tujuh buah negeri Melayu tidak perlu lagi menghantar bunga emas ke Bangkok.  Namun begitu segala hasil cukai dalam negeri akan dikutip oleh pejabat hasil dalam negeri tersebut.
Kesan daripada campur tangan kerajaan Thailand dalam urusan pentadbiran dan hal ehwal agama Pattani, raja-raja Melayu menjalinkan hubungan dengan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Frank Swettenham.  Mereka berpendapat bahawa kerajaan British sahaja yang berupaya menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.  Raja Pattani iaitu Tengku Abdul Kadir Kamaruddin; Raja Legeh, Tengku Ngah Samsuddin; Raja Reman, Tengku abdul Kandis dan Raja Sai, Tengku Abdul Mutalib masing-masing mengutus surat kepada Frank Swettenham untuk memeohon bantuan. Dalam suratnya, Sultan Abdul Kadir Kamaruddin meminta supaya British campur tangan untuk memulihkan kembali kedaulatan Raja Pattani. Walaupun Swettenham bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh Raja Pattani, tetapi beliau tidak mengambil sebarang tindakan.  Beliau hanya mencadangkan supaya Sultan Abdul Kadir membawa perkara tersebut kepada kerajaan Thailand.  Swettenham hanya memaklumkan secara tidak langsung kepada Raja Chulalongkorn yang berada di Singapura ketika itu bahawa segala cukai yang dipungut dalam negeri Melayu di bawah perlindungan British dibelanjakan untuk negeri tersebut. Swettenham bertindak sedemikian kerana ingin menjaga hubungan persahabatan antara British dengan Siam. Sultan Abdul Kadir kemudiannya mengadakan mesyuarat dengan raja-raja Melayu lain di istana Cabang Tiga, Pattani. Mereka membincangkan tentang tindakan yang perlu diambil untuk kepentingan negeri-negeri Melayu dan masyarakat Melayu.  Dalam mesyuarat tersebut, semua pihak bersetuju tindakan bersenjata akan dilakukan pada bulan Oktober 1901, sekiranya Siam terus campur tangan dalam kerajaan Melayu.
Pada 13 Ogos 1901, Sultan Abdul Kadir Kamaruddin telah menulis surat kepada Frank Swettenham mengadu kerajaan Thailand menganggu pemerintahan baginda dan menimbulkan kekacauan dalam kalangan penduduk Pattani.  Sultan Abdul Kadir meminta campur tangan British di Pattani.  Raja Thai mendapat maklumat mengenai aduan Sultan Abdul Kadir ini dan menjemput Frank Swettenham berunding dan cadangan tersebut disokong oleh Pejabat Luar.  Dalam pada itu, Sultan Abdul Kadir meminta bantuan R.W. Duff membantu baginda melancarkan gerakan tentangan terhadap kerajaan Thai.  Namun R.W. Duff tidak bersetuju dengan cadangan tersebut sebaliknya mengesyorkan supaya baginda berunding dengan kerajaan Thailand mengemukakan tuntutan melalui kerajaan British.  R.W. Duff menyatakan jika tindakan kekerasan diambil dalam menyelesaikan masalah ini ia akan menjatuhkan kedudukan Sultan Abdul Kadir sendiri dan menyebabkan ramai penduduk Pattani terkorban.  Oleh hal yang demikian, baginda menghantar surat tuntutannya melalui Syarikat Guaman kepada Swettenham (Nik Anuar Nik Mahmud 1999:30). 
Dalam tuntutan itu, Sultan Abdul Kadir menyatakan kekejaman pegawai Thai dalam melakukan pungutan cukai dan agama Islam. Selain itu, penglibatan ini bercanggah dengan perkara yang tercatat dalam surat pelantikan yang dibuat oleh raja Chulalongkorn kepada Sultan Abdul Kadir.  Sultan Abdul kadir turut menyatakan bahawa beliau akan mendapatkan bantuan daripada kuasa lain jika British enggan membantu.  Sikap Sultan Abdul Kadir ini telah membimbangkan Swettenham.  Oleh sebab itu beliau mengambil keputusan untuk mengadakan rundingan dengan Sultan Abdul Kadir di Singapura pada bulan Oktober 1901.  Dalam rundingan tersebut, Swettenham menasihati Sultan Abdul Kadir menangguhkan rancangan melancarkan tentangan dan memberi jaminan akan memulihkan semula kekuasaan Sultan Abdul Kadir.  Selain itu, beliau juga akan memanjangkan tuntutan baginda kepada kerajaan British di London.  Dengan itu Sultan Abdul Kadir bersetuju dengan cadangan Swettenham.  Ancaman yang dilakukan oleh Sultan Abdul Kadir telah menyebabkan wujud perasaan kurang senang kepada Sweetenham.  Keadaan ini menyebabkan Sweetenham telah mengharamkan eksport senjata ke Pattani (Nik Anuar Nik Mahmud 1999:31).  Setelah mendapat surat Swettenham mengenai keadaan di Pattani, Pejabat Tanah jajahan London menghantar surat kepada Menteri British di Bangkok iaitu Archer supaya berbincang dengan Putera Damrong.  Putera Damrong kemudiannya menghantar timbalannya Phya Sri Sahadhed ke Pattani untuk menjalankan siasatan.  Sebelum berangkat ke Pattani, Phya Sri Sahadhed telah berunding dengan R.W. Duff tentang keadaan di Pattani.  Duff menyatakan tidak ada sebarang kekacaun yang berlaku di Pattani tetapi beliau menyatakan kekacauan akan berlaku sekiranya kerajaan Thai tidak mengambil langkah dalam menyelesaikan ketidakpuasan hati penduduk Pattani.  R.W. Duff telah mengesyorkan kepada kerajaan Thai melakukan rundingan dengan raja-raja Melayu. 
Tindakkan kerajaan Thailand yang campur tangan dalam urusan pentadbiran, agama dan cukai di Pattani telah menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu di selatan Thai. Contohnya, dalam urusan pentadbiran, Patani telah dipecahkan kepada beberapa wilayah.  Wilayah-wilayah ini ditadbir oleh raja-raja Melayu yang dilantik oleh kerajaan Thailand.  Mereka terpaksa tunduk kepada kerajaan Thailand, sekiranya mereka melakukan penentangan dan tidak mengikuti arahan kerajaan Thailand mereka akan dipecat dan ditangkap.  Dalam aspek agama pula, kerajaan Thai telah mengurangkan kuasa Kadi dan campur tangan dalam urusan adat dan budaya masyarakat Melayu-Islam.  Dari aspek cukai pula, kerajaan Thai tidak mengotakan janjinya untuk membahagikan hasil cukai di wilayah selatan Thai kepada raja-raja Melayu dan raja-raja Melayu tidak mempunyai kuasa untuk mengutip cukai.  Keadaan ini akhirnya telah membawa kepada penentangan oleh raja dan masyarakat Melayu terhadap kerajaan Thailand.
Semasa rundingan antara Raja Chulalongkorn dan Swettenham iaitu wakil Brtish, beliau telah mengemukakan tiga pilihan dalam menyelesaikan masalah Pattani iaitu, pertama Thailand hendaklah membebaskan negeri-negeri Melayu Pattani, kedua, kerajaan Thailand hendaklah melantik pegawai British yang berpengalaman bagi mentadbir negeri-negeri Melayu Pattani, dan ketiga ialah kerajaan Thailand hendaklah memberi kuasa kepada British untuk mendapatkan persetujuan negeri-negeri Melayu Pattani supaya menyerahkan segala hal ehwal luar kepada kerajaan Thailand.  Walaupun Raja Chulalongkorn cenderung menerima cadangan Swettenham tersebut, tetapi pegawai Bangkok khususnya Kementerian Dalam Negeri tidak mahu campur tangan British dalam negeri Melayu itu. 
Pada 20 Februari 1902, kerajaan Thailand melalui Setiausaha Kementerian Dalam Negerinya datang berunding dengan Sultan Abdul Kadir di Pattani. Dalam rundingan tersebut, Sultan Abdul Kadir dikehendaki menandatangani surat yang mengandungi perkara pentadbiran tujuh wilayah bagi tahun 1902, tetapi baginda enggan menandatangai surat tersebut.  Keengganan baginda menyebabkan baginda dilucutkan dari takhta kerajaan Pattani pada 6 Mac 1902 dan raja-raja Melayu yang lain turut ditangkap.  Takhta kerajaan Pattani digantikan oleh Tengku Kadir atau Tengku Pitak.  Tindakan kerajaan Siam ini menimbulkan tindakan balas daripada kerabat diraja Pattani, akhbar dan pihak British.  Masing-masing mendesak supaya kerajaan Siam membebaskan raja-raja Melayu.  Disebabkan oleh desakan penduduk tempatan dan pihak British, kerajaan Thailand mengambil keputusan membebaskan raja-raja Pattani.  Namun begitu, kerajaan Thailand hanya sanggup membebaskan mereka jika bersedia menurunkan tandatangan bersumpah tidak akan mencetuskan tentangan dan berkelakuan baik.  Tengku Abdul Kadir enggan bersumpah sebaliknya menghantar surat kepada raja Thailand memohon ampun di atas kesalahan lepas, memohon dihantar pulang ke Pattani dan berjanji berkelakuan baik pada masa akan datang.
Tengku Samsuddin dan Tengku Abdul Mutalib dibebaskan pada bulan April 1903.  Tengku Abdul Kadir dibebaskan pada 5 Mac 1904 setelah mengaku bersalah dan berjanji akan hidup seperti orang biasa serta tidak akan terlibat dalam hal ehwal politik (Kobkua Suwannanthat-Pian 1988:181).  Pada tahun 1905, Tengku Abdul Kadir bersama keluarga berpindah ke Kelantan.  Mulai tahun 1902, Pattani menjadi sebahagian daripada negeri Thailand.  Kerajaan Thailand kemudiannya mengubah lagi struktur pentadbiran Pattani daripada tujuh buah negeri kepada empat buah negeri sahaja pada tahun 1906 (Worawit Baru 1990:11).  Negeri tersebut ialah Pattani (termasuk Nongchick dan Jambu), Yala (termasuk Reman), Saiburi (Teluban) dan Bagnara (Legeh) (Ahmad Fathy al-Fatani 1994:60).  Perubahan sistem dan bentuk pentadbiran ini mengakibatkan kedaulatan raja sudah tidak ada lagi di Pattani.  Suasana ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penduduk Pattani dan mereka menentang pentadbiran Thailand.  Pada 10 Jun 1915, negeri Bangnara ditukar sebagai Narathiwat (Worawit Baru 1990:12). Pada 19 Mei 1916 kerajaan Thailand memperkenalkan lagi pentadbiran baru di Pattani dan menukar nama negeri kepada wilayah (Changwad).
Pada tahun 1923, meletus lagi tentangan terhadap pemerintahan Thai di wilayah selatan.  Penentangan ini berlaku kerana pegawai Thai membatalkan konsesi kawasan bijih timah Tengku Abdul Kadir Kamaruddin.  Selain itu, pentadbiran Thai di Pattani juga telah melaksanakan pungutan cukai.  Dalam pada itu, terdapat beberapa cukai tertentu dinaikkan.  Pada awal bulan Januari 1923, berlaku pertempuran antara kedua-dua pihak.  Dalam kejadian tersebut ramai orang Melayu ditahan jumlahnya tidak kurang daripada 200 orang.  Dalam pertempuran tersebut Tengku Abdul Kadir sempat berundur ke negeri Kelantan.  Walaupun kebangkitan orang Melayu gagal, namun ia telah mendapat perhatian daripada Raja Vajiravudh.  Baginda mengarahkan Kementerian Dalam Negeri pada Julai 1923 supaya menghantar pegawai yang bersih daripada skandal untuk bertugas di Pattani.  Selain itu, Gabenor Pattani iaitu, Phya Deshanuchit ditukar dan Raja Vajiravudh juga menjalankan dasar tolak ansur terhadap orang Melayu di wilayah selatan.  Baginda mengeluarkan arahan kepada Kementerian Dalam Negeri No.  3/78 pada bulan Julai 1923 yang bernama Lak Ratta Prasas Nobai iaitu Dasar Asas Pemerintahan untuk diikuti sebagai panduan baru.  Antara asas penting dalam pentadbiran ini ialah memberikan kebebasan kepada orang Melayu di selatan.  Dasar pertama arahan ini menyatakan adalah perlu untuk menghapuskan segala peraturan atau tindakan yang dipandang oleh penduduk negeri sebagai menindas agama Islam.  Manakala peraturan yang baru hendak digubal pula hendaklah membantu menguatkuasakan agama dan tidak bercanggah dengan agama Islam (Ahmad Omar Chapakia 1997:101).  Jumlah cukai yang dikenakan kepada orang Melayu juga hendaklah lebih rendah berbanding cukai-cukai yang dikenakan oleh pihak British terhadap negeri Melayu yang dibawah pentadbirannya.  Pegawai kerajaan yang hendak dihantar ke Pattani mestilah seorang yang jujur, tegas serta tidak boleh menghantar pegawai yang mempunyai kesalahan bertugas di Pattani.  Berdasarkan perbincangan di atas dapat dirumuskan bahawa penentangan yang dilakukan oleh raja-raja dan masyarakat Melayu terhadap kerajaan Thai pada peringkat awalnya adalah disebabkan oleh faktor sejarah.  Faktor sejarah adalah punca yang mengakibatkan konflik ini berlaku.  Pada awalnya wilayah Patani ini adalah milik raja Melayu. Namun kekalahan Patani terhadap kerajaan Siam dalam peperangan menyebabkan Patani menjadi tanah jajahan kerajaan Siam.  Walaupun Patani telah ditakluk oleh kerajaan Siam, namun raja-raja dan masyarakat Melayu masih melakukan penentangan terhadap kerajaan Siam kerana mereka mahu Patani menjadi sebuah kerajaan yang bebas. Keinginan yang tinggi untuk membebaskan Patani dari kerajaan Siam ini telah menyebabkan masyarakat Melayu dan raja-raja Patani melakukan penentangan secara berterusan terhadap kerajaan siam. 
Selain itu, penentangan raja-raja dan masyarakat Melayu terhadap kerajaan Thailand juga berlaku disebabkan oleh tindakkan kerajaan Thailand yang campur tangan dalam hal ehwal agama Islam, budaya, cukai dan perlantikan raja-raja Melayu. Tindakkan kerajaan Thailand mengurangkan kuasa raja-raja Melayu juga telah meyebabkan masyarakat Melayu dan raja-raja Melayu di selatan Thai semakin tertekan.  Selepas perang dunia kedua keadaan konflik di selatan Thai mula berubah.  Banyak dasar kerajaan Thai yang bersifat menekan masyarakat setempat dilakukan.


[1]Perlantikan Sultan Abdul Kadir sebagai sultan ditulis dan diserah sendiri oleh raja Chulalongkorn ketika melawat Pattani (Nik Anuar Nik Mahmud 1999:28).

1 comment:

  1. ke mana perginya anaknya Tengku Yusuf Nuruddin? meninggal pd usia muda atau dihilangkan jejaknya?

    ReplyDelete